Orang yang tidak kenal Tuhan,
orang yang tidak faham kerja-kerja Tuhan
Dia tidak akan faham maksud Tuhan menjadikan sesuatu
Maksud Tuhan itu difaham mengikut yang dia faham
Akhirnya dia tidak mampu menanggung, apa yang dilakukan oleh Tuhan pada dirinya
Kalau Tuhan beri dia kuasa,
Tuhan hendak melihatkan kuasa-Nya pada diri orang itu
Tapi orang itu merasa berkuasa dan berbangga dengan kuasa yang ada
Dia pun takbur dan sombong dan menyalahguna kuasanya
Jika dia diberi kekayaan,
Tuhan hendak melihatkan kekayaan-Nya pada diri orang itu
Tapi orang itu dialah yang merasa kaya, dia pun megah dan sombong
Dia pun menghina orang yang papa kedana
Apabila Tuhan memberi ilmu,
Tuhan hendak memberitahu ilmu-Nya pada orang itu
Ilmu Tuhan yang diberi kepadanya
Orang itu menganggap dialah yang punya ilmu,
dia mahu dihormat dan dipuji
Dia rasa, dialah orang alim yang patut dimuliakan
Padahal Tuhan hendak melihatkan ilmu-Nya pada orang itu
Jika seseorang itu suaranya sedap atau rupa parasnya cantik
Tuhan memberitahu itu adalah anugerah Tuhan padanya
Tuhan pinjamkan kepadanya
Tapi orang itu merasa megah pula dengan suara dan rupanya
Ingin dipuji dan disanjung selalu
Kalau Tuhan uji seseorang dengan kesusahan dan penderitaan
Tuhan hendak memberitahu,
Dia mampu bertindak apa sahaja kalau Dia mahu
Dia mahu orang itu sedar dan insaf agar kembali kepada-Nya
Tapi orang itu pula dia tidak senang, gelisah, kecewa dan putus asa
Begitulah orang yang tidak kenal dan tidak faham perbuatan Tuhan
Orang itu tidak akan rasa tenang jiwanya
Jiwanya tidak senang dan kecewa selalu mungkin putus asa
Hormat orang tidak kekal, sanjungan orang tidak selalu
Pujian orang tidak mesti sampai ke hujung
Kemegahan dan kekuasaan tidak selama-lamanya
Apabila segala-galanya sudah tidak wujud
Lagi kecewa, menderita, putus asa
Oleh itu kenalilah Tuhan,
fahamilah maksud perbuatan Tuhan
Bukan maksud seperti yang kita fahami
No comments:
Post a Comment