Thursday, June 25, 2009

DOSA MEMBURU DI MANA-MANA

Tuhan!Dosa memburu di mana-mana sahaja,
Ia memburu tidak kira masa dan tempat,
Sasaran buruannya adalah manusia
sebagai hamba-hamba-Mu,
Aku adalah salah seorang buruannya,
Aku selalu sahaja menjadi mangsanya,
Dosa ibarat semut berada di mana-mana
dan setiap masa ada,
Siapalah yang dapat melarikan diri
daripada buruannya,
Kalau kita berhati-hati pun tidak dapat dielak
daripada digigit semut,
Betapalah kita tidak mempedulikannya
lebih-lebih lagi menjadi sasaran serangannya
yang lebih lagi kerap berlaku,
Aku sedih Tuhan, aku bimbang selalu,
Jiwaku tidak tenang, gelisah selalu,
Bukan sahaja dosa-dosa menimpa aku di jalan-jalan,
di pasar-pasar, bahkan di rumah
dan di masjid pun berlaku,
Di dalam sembahyang pun dosa memburu aku,
Waktu berpuasa, membaca Al Quran,
bercakap tentang ilmu,
Bahkan sedang memperkatakan tentang dosa
pun terjatuh di dalam dosa,
Aduh di mana aku hendak lari dari dosa Tuhan!
Dosa ibarat semut berada di mana-mana
dan berada di setiap masa,
Kalau di dalam sembahyang,
di waktu membaca Al Quran,
di dalam majlis ilmu dosa tetap memburu aku,
Bagaimanakah jiwa aku mahu tenang,

Bagaimana aku mungkin boleh terlepas
daripada kebimbangan?!
Justeru itu lepas sembahyang aku bimbang,
Selepas membaca Al Quran aku tidak tenang,
Bahkan selepas bangun tidur pun,
Aku merasakan aku sedang diburu dosa,
Aduh kalau bukan dengan rahmat-Mu Tuhan,
Aku pasti binasa.

No comments: