Tuesday, July 8, 2008

AZ ZIKRU

Zikir adalah ingatan atau perasaan,
Ia adalah sifat hati atau jiwa atau roh insan,
Ia merupakan sifat rohaniah insaniah,
Zikir yang kita hendak perkatakan di sini ialah zikrullah,
Yang diperintah kepada manusia atau insan,
Zikrullah atau ingatan kepada Tuhan
ada berbagai-bagai peringkat dan perasaan,
Kalau sudah sampai peringkat cinta,
Ia telah bertapak di hati atau jiwa,
Rasa bertuhan telah sampai peringkat penghayatan,
Ia payah hendak dilupakan,
Atau banyak ingatan daripada dilupakan,
Juga jika sudah sampai peringkat takut yang mendalam,
Ingatan kepada Tuhan susah hendak dilupakan,
Ia akan terbawa-bawa ke mana-mana
walaupun di dalam perjalanannya,
Kedua-duanya ini berlaku kerana kenal Tuhan,
Pencipta insan dan seluruh alam,
Kalau sekadar percayakan Tuhan tapi
tidak kenal Tuhan ada keyakinan,
Tapi rasa cinta atau takut belum wujud bertapak
di dalam jiwa atau hati sebagai perasaan,
Ia akan menjadikan seseorang insan itu banyak
lupanya daripada ingatan kepada Tuhan,
Orang yang semacam ini terpaksalah mencari-cari sebab
untuk ingatan kepada Tuhan,
Kenalah gunakan fikiran selalu,
Kenalah merenung alam, laut dan keindahan,
Barulah datang perasaan rasa bertuhan,
Atau membaca berbagai-bagai lafaz zikir,
tasbih untuk ingatan kepada Tuhan,
Jika rasa takut dengan Tuhan tidak kuat,
Atau rasa cinta belum mendalam terpaksalah
memaksa-maksa diri untuk ingatan,
Terpaksalah menggunakan akal untuk berfikir atau bacaan,
Apabila cinta sesuatu banyak menyebut atau banyak ingatan,
Juga kalau perasaan takut menguasai insan,
Ingatan payah dilupakan,
Begitulah kalau sudah sampai peringkat cinta,
Atau takutkan Tuhan payah hendak dilupakan,
Haraplah diambil peringatan jika mahu ada perasaan bertuhan

No comments: