Saturday, October 25, 2008

TUHAN YANG BUKAN TUHAN

Tuhan-tuhan yang bukan Tuhan telah merosakkan aqidah insan di akhir zaman
Tuhan Allah yang sebenarnya Tuhan telah ditinggalkan orang
Tuhan yang bukan Tuhan itulah menjadi sandaran kebanyakan orang di akhir zaman
Walaupun sesuatu perkara itu tidak dipanggil Tuhan, tapi ia adalah keyakinan dan harapan orang itulah tuhan
Sama ada ia disedari atau tidak Allah menuduh orang itu menuhankan perkara itu sebagai tuhannya
Ada orang mengikut hawa nafsu itulah kebahagiaannya, itulah harapan masa depannya, di situlah keselamatannya, nafsu itulah tuhannya
Ada orang dengan ilmu dan kepandaian sandaran hidupnya,
tanpa itu gelaplah masa depannya
Maka orang itu telah telah menuhankan ilmu dan kepandaiannya yang bukan Tuhan sebagai tuhannya
Orang itu telah tertipu dengan akal dan fikirannya
Tidak kurang ada orang menuhankan duit dan kekayaan
Tanpa duit dan kekayaan, malanglah hidupnya
Dia bertungkus-lumuslah mencari tuhannya itu
dengan melupakan Tuhannya yang sebenarnya
Dengan tidak memikirkan lagi pantang-larang Tuhannya yang sebenar
Tidak fikir lagi halal dan haram
Yang dia fikir duit dan kekayaan
Ada orang pula menuhankan jawatan dan kekuasaan
Katanya: tidak ada jawatan dan kekuasaan tidak akan senang kehidupannya
Dia burulah jawatan dan kekuasaan sebagai tuhannya
Hingga melanggar hak asasi manusia dan pantang-larang Tuhannya yang sebenarnya
Akhirnya semua keyakinan dan pandangan itu palsu belaka
Kerana sudah banyak yang berjaya berdasarkan keyakinan mereka rasa kecewa
Namun bahagia tidak juga ada, ketenangan jiwa tidak juga dapat dirasa
Ada orang sudah berjaya berserabut fikirannya
Jiwa tidak tenang dan tidak bahagia
Ada orang sampai ke kemuncak kejayaannya
Orang terkejut dan gempar kerana di membunuh diri kesudahannya di dalam kejayaannya
Begitulah orang yang mendapat tuhan yang bukan Tuhan
Yang berjaya pun rasa kecewa betapalah yang tidak berjaya
Mereka tertipu di dalam hidupnya, mendapatkan tuhan yang bukan Tuhannya
yang sebenarnya

No comments: