Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Friday, January 2, 2009

BERKELUARGA ATAS NAMA TUHAN

Selepas dua mempelai menjadi pengantin baru,
Bermulalah hidup berkeluarga dua jenis manusia,
Kalau panjang umur anak pula ramai,
Tanggungjawab keluarga bertambah berat dan mencabar,
Jika ilmu tidak ada, iman pula tidak ada,
Bukan senang hendak mengendalikan keluarga yang besar,
Krisis berlaku, masalah tidak selesai,
Kalau dahulu selalu gembira, sekarang bermasam-masam muka,
Kerana itulah kita perlukan Tuhan,
Segala masalah apa sahaja Tuhan tempat menyelesainya,
Tuhan memimpin orang yang bertaqwa,
Orang yang bertaqwa ada pembelaan dari Tuhan,
Berkahwinlah atas nama Tuhan,
Berkeluargalah atas nama Tuhan,
Tuhan jangan ditinggalkan,
Tuhan kawan setia di waktu kesenangan dan di waktu kesusahan,
Kalau atas dasar itulah kita berkahwin,
Senang susah tidak jadi masalah,
Di waktu senang kita bersyukur,
Di waktu susah kita bersabar,
Rumah tangga di dalam rahmat Allah.

Saturday, November 29, 2008

RASA CINTA DAN TAKUT PADA ILLAHI

Tuhan! Aku pohon dengan rahmat-Mu, 
masukkanlah ke dalam hatiku rasa cinta kepada-Mu 
Kalau Engkau anugerahkan,
otomatis takutku pada-Mu akan berlaku 

Cinta dan takutku kepada-Mu,
itulah benteng diriku dari kemungkaran 
Kalau Engkau tidak anugerahkan, 
kemungkaran akan selalu sahaja berlaku
 
Tuhan! Aku adalah hamba-Mu, yang dhaif lagi lemah 
Pimpinlah aku, ke jalan taqwa,
yang menjadi kesukaan-Mu 

Augerahkanlah taqwa itu padaku, untuk keselamatanku
Taqwa itulah perisai diriku, dari dosa dan Neraka
 
Tuhan! Kasihanilah aku ini, 
Jangan biarkan aku tanpa pimpinan 
Kalau Engkau tidak pimpin aku, 
siapa lagilah yang boleh memimpin 

Pimpinan Engkau sangat aku perlukan, 
agar aku selamat dan nafsu dan syaitan 
Kalau bukan pimpinan-Mu Tuhan,
tidak mungkin aku terlepas 
daripada tipu daya syaitan dan nafsu
 
Tuhan! Ku pohonkan doa selalu kepada-Mu 
Aku tidak jemu-jemu meminta kepada-Mu 
petunjuk ke jalan kebenaran
Harapanku pada-Mu sentiasa bersemarak 
tidak pernah padam-padam

Aku sentiasa meminta siang dan malam
Aku sentiasa menunggu, petunjuk-Mu Tuhan
Aku yakin anugerah-Mu itu pasti aku akan dapat juga 
Sebab itulah aku tidak jemu-jemu berdoa kepada-Mu 
Aku tidak akan putus asa dengan-Mu Tuhan

Tuesday, September 9, 2008

MAHALNYA CINTA

Cinta itu mahal,
Jangan beri cinta pada sebarangan,
Memberi cinta atau meletakkan cinta kepada sebarangan adalah sia-sia 
dan akan menyesal,
Kerana cinta itu mahal biarlah pulangannya sepadan dengan mahalnya, 
Kalau kita cinta kepada sesuatu kita pula yang memberi sesuatu kepadanya, 
adalah orang yang bodoh macam baghal;
Kita beri cinta pada perempuan terutama yang bukan isteri kita, 
berbagai-bagai perkara dan benda dia minta kita berikan kepadanya,
Bukan dia yang memberi sesuatu kepada kita bukankah kita dibodohinya?
Adakalanya setelah dia kikis harta dan kekayaan kita, dia pun tarik diri dari kita 
apakah untungnya?

Begitu juga kita berikan cinta kepada isteri kita, berbagai-bagai perkara yang dia minta kita kena beri juga,
Dia tidak fikir lagi apakah kita ada atau tidak ada,
Sudahlah cinta kita beri kepadanya, kita diminta pula apa sahaja!
Sepatutnya dialah yang memberi kita apa sahaja,
Kerana kita telah bayar dengan kecintaan kepadanya, cinta itu bukankah mahal?
Kita cinta harta, kita cari untuk kita milikinya,
Siang malam kita tidak rehat dibuatnya kerana cintakan harta,
Setelah dapat apa yang kita mahu,
Banyaklah harta yang ada pada kita, hingga kita jadi orang kaya,
Aduh! Sedihnya kita pula kena jaga harta,
Kalau tidak jaga orang curi pula atau dia binasa,
Sepatutnya kecintaan telah kita beri kepadanya, dialah jaga kita, 
mengapa pula kita jaga dia;
Kita pula telah diperbodoh oleh harta,
Kita diperhambanya hingga menyusahkan kita,
Kita letak dia di tempat yang mulia dan terpelihara,
Hartalah yang mulia bukan kita yang mulia, kita tidak dipedulikannya,
Sekali lagi harta boleh memperbodoh kita,

Mengapa manusia tidak pandai meletakkan cinta 
kepada Zat Dialah yang akan menjaga kita,
Dia akan urus kita, bertanggungjawab kepada kita, memelihara kita,
Siang malam Dia akan jaga kita,
Di waktu susah disenangkan-Nya kita!
Ketika sakit disembuh-Nya kita!
Di kala kita miskin dikayakan-Nya kita!
Di waktu kita lapar dikenyangkan-Nya kita!
Di waktu kita takut, dihiburkan-Nya kita!
Bahkan Dia memberi segala-galanya kepada kita selama mana kita masih hidup di dunia,

Yang saya maksudkan ialah Tuhan kita yang menghidup dan mematikan kita,
Bukankah baik kita cintakan Dia, kita beri kasih sayang kepada-Nya,
Alangkah patutnya bahkan indahnya kita mencintai satu Zat yang belum kita kenal, 
Dia jauh sekali mencintai-Nya,
Dia telah beri kita hidup, rezeki, kesihatan, hiburan dan lain-lainnya,
Kita belum beri kasih sayang kepada-Nya, 
Dia telah pemurah dengan kita, terutama udara,
Tanpa kita bayar apa-apa kepada-Nya,

Kalaulah kita kenal Dia dan cinta pula dengan-Nya Dia akan beri kita sesuatu yang bersifat rohani dan maknawi pula,
Yang bersifat maknawi dan rohani itu lebih mahal daripada kehidupan yang lahir di dunia,
Untungnya kekal abadi, kita terima di Akhirat sana di dalam Syurga,
Apakah dia?
Iaitu rahmat-Nya,
Dia akan anugerah yang lebih besar lagi yang kita akan terima dari-Nya,
Hidayah-Nya taufiq-Nya, iman dan taqwa, cinta-Nya, redha-Nya, keampunan-Nya akhirnya adalah Syurga-Nya,

Mengapa kita tidak jatuh hati dengan Zat yang kita tidak cinta pun, 
pemurah-Nya sudah diberi-Nya kepada kita?
Kalau kita cintai Dia lebih besar lagi kita terima redha dan keampunan-Nya,
Kita tidak payah jaga Dia, Dialah yang jaga kita,
Kita tidak payah tadbir Dia, Dialah yang mentadbir kita,
Kita tidak payah menjaga keselamatan-Nya, Dialah yang menjaga keselamatan kita,
Bahkan di waktu kita tidur pun Dia jaga kita begitu setia,
Mengapa kita beri cinta murahan, yang menyusahkan kita,
Kitalah yang memberinya bukan dia memberi kita,
Macam-macam kita memberinya itu pun dia tidak setia,
Alangkah bodohnya kita bahkan malang sekalilah kita kerana ditipunya kita,
Di mana akal kita hingga tidak mampu berfikir secara rasional,
Marilah kita merubah sikap untuk menyelamatkan diri kita,
Kita cintailah Tuhan, yang Dia memberi kita segala-galanya hidup dan mati kita,
Cintakan Tuhan selamat kita ke Syurga.

Thursday, September 4, 2008

ALLAH SUMBER BAHAGIA

Allah Taala adalah sumber bahagia
Ini bukan semua orang yang boleh merasa
Ini hanya dapat dirasa oleh jiwa yang bertaqwa
Berdoa sahaja sudah rasa sedap
Sekalipun belum tentu dikabulkan doa

Bercakap-cakap dan berbisik-bisik dengan Tuhan
Sudah terasa lazatnya
Bermunajat dengan-Nya terasa indahnya

Allah Taala terasa dekat
Tapi tidak berantara dan bercara
Ia terasa ada di mana-mana
Tapi tidak ada di sana
Kita terasa sangat Ia bersama kita

Semuanya tidak bercara
Tuhan dirasakan sangat diperlukan
Masya-Allah indahnya bertuhan
Rahmat-Nya dan kurniaan-Nya seperti dirasakan
Sama ada yang nyata mahupun yang tidak nyata

Setiap detik dia mengurniakan
Allah! Allah! Allah!
Besarnya erti hidup bersama Tuhan
Tuhan adalah hidup mati kita

Tuhan adalah segala-galanya

Monday, August 25, 2008

DUNIA YANG MEMPESONA DAN MENIPUDAYA

Dunia itu di sudut yang mana pun semuanya indah,
Memperdaya dan mempersona,
Lebih-lebih lagi dalam diri manusia,
Ada yang merangsangnya, nafsu namanya,
Ramai orang yang terjebak dan diperangkapnya,
Banyak orang tak boleh lari darinya,
Kekayaannya memperdaya,
Kesenangan dan kemewahan mempersona,
Laki-laki dan perempuan menggoda,
Jawatan dan pangkat melalaikannya,
Akhirnya manusia ditipu dayanya,

Tipu daya yang pertama:
Lalai dengan Tuhannya, bahkan Tuhan dilupakannya,
Yang kedua:
Harap bahagia dengan dunia kadang-kadang tak ada,
Walaupun sudah dimilikinya,
Ada orang yang kaya, tidak bahagia, senang sahaja,
Ada orang berjawatan, fikirannya berserabut sahaja,
Rungsing setiap masa,
Ada orang sudah dapat suami atau dapat isteri bergaduh sahaja, Menunjukkan tidak bahagia,
Rupanya dunia, di dunia lagi tidak bahagia,
Cuma senang sahaja,
Di akhirat apatah lagi masuk ke neraka,

Betullah dunia menipu daya di dunia lagi,
Hingga ke akhirat sana,
Menunjukkan dunia sehebat manapun tidak setia,
Oleh itu tidak salah cari kekayaan,
Tidak salah cari pangkat dan jawatan,
Tidak salah cari suami atau isteri,
Tapi kenalah bersama Tuhannya,
Atau kerana Tuhannya,
Bahagia yang hakiki dunia akhirat dengan Tuhannya,
Tapi kebanyakan manusia hatinya buta,
Mata kepalanya saja yang celik,
Tidak tahu bahagia yang sebenarnya.

Thursday, August 21, 2008

CINTAKU PADAMU

Aku tahu Engkau Tuhan adalah cinta agung,
Aku pun mau mencintaiMu
Aku tahu mencintaiMu amat perlu,
Ia puncak dari segala kebahagiaan
Aku berusaha ke arah itu,
tapi cintaku padaMu Tuhan selalu saja terganggu,

Banyak yang mengganggu,
Nafsuku yang jahat, syaitan terkutuk.
Dunia yang mempesona menggamit-gamit selalu,
Di waktu itu lupa aku padaMu, Cinta sudah tentu jauh sekali,
Sekali-sekala cintaku padaMu datang juga, walaupun sedikit, terasa indahnya
Kemudian lupa lagi

Adakalanya lupaku padaMu berpanjangan sekali
Kemudian sekali-sekala tersedar kembali,
Engkau adalah cinta agung,
Engkau patut dicintai, selepas itu lupa lagi,
Begitulah cintaku padaMu dengan kelalaianku silih berganti,

Tuhan…
Dengan hati yang sedih ini tolonglah aku, dengan rahmatMu,
Bantulah aku untuk mencintaiMu
Agar cinta yang palsu itu terbunuh dengan sendiri
Itulah harapanku padaMu

Wednesday, July 16, 2008

CINTA DUNIA

Cinta dunia telah memusnahkan manusia,
Apa sahaja dibuat kerana dunia,
Kerana Tuhan dan Akhirat jarang terjadi,
Kahwin kerana dunia,
Belajar pun kerana dunia,
Bekerja pun kerana dunia,
Berkawan pun kerana dunia,
Berkongsi berniaga pun kerana dunia,
Berjuang pun kerana dunia,
Belajar agama pun kerana dunia,
Dunia benar-benar menjadi cita-cita hidup manusia,
Bukan Akhirat dan Tuhan lagi.
Suami isteri mudah berkelahi,
Berkawan tidak sejati,
Berjuang dalam satu jemaah selalu pecah ukhwah,
Berlaku dalam perniagaan khianat-mengkhianati,
Niat belajar kerana makan gaji,
Guru mengajar kerana duit dan periuk nasi atau sesuap nasi,
Akhirnya manusia perlu-memerlukan satu sama lain tidak indah lagi,
Tidak memerlukan tidak boleh,
Manusia tidak boleh hidup sendiri,
Tapi bila bertemu curiga-mencurigai,
Kerana manusia prejudis sesama sendiri,
Sebab satu sama lain merasakan "bila aku nak kena tipu",
"Bila aku nak dikhianati",
"Bila aku nak dianiaya oleh partner sendiri".

Jadi didalam pergaulan kasih sayang sudah tidak diambil kira lagi,
Jadi manusia hidup didalam kebimbangan setiap hari,
Hidup manusia kerana dunia, bukan kerana Tuhan dan Akhirat lagi,
Akhirnya matlamat manusia itu menyusahkan sesama sendiri,
Dan semua golongan dan peringkat manusia hidupnya sudah tidak ada ceria lagi,
Kerana manusia sesama manusia sudah curiga-mencurigai,
Dalam hidup suami isteri itu pun sudah tidak ada bahagia dan ceria,
Masing-masing satu sama lain juga sudah tidak selari,
Kerana itu tuntutan fitrah dan tuntutan biologi,
Tapi dalam menunaikan tuntutan fitrah itu curiga sesama sendiri,
Itulah hakikat hidup manusia di waktu ini,
Keindahan hidup musnah sama sekali,
Itulah neraka dunia sebelum Neraka yang hakiki,
Selagi manusia tidak mengubah sikap,
Kehidupan itulah menjerat diri.

Friday, July 11, 2008

PELBAGAI PERINGKAT CINTA

Kasih ada berbagai-bagai peringkat ada yang sejati,
ada yang tidak hakiki
Cinta atau kasih ada yang mudah luntur,
ada yang payah hendak luntur
Ia adalah satu sifat ada yang berpanjangan,
ada yang tercicir di dalam perjalanan hidup

Setiap kasih yang berlaku ada yang bersebab ada yang semulajadi
Kasih ada yang asli dan ada yang aradhi
Berlakunya kasih atau cinta seseorang terhadap atau kepada seseorang tidak sama

Ada yang cinta dan kasih semulajadi
Yang langsung tidak ada hubungkait dengan benda dan kebendaan
Seperti kasih anak kepada ibu bapanya
Sekalipun ibu bapa itu miskin, cacat, tidak ada pangkat, buruk
Namun anaknya tetap cinta dan kasih kepada ibu bapanya
Kasih semulajadi ini payah luntur kecuali kalau ibu bapanya terlalu kejam

Ada kasih kerana kecantikan seseorang wanita, kerana tubuh badannya yang seksi
Kasih ini ada hubungan dengan rangsangan nafsu
Kalau sebab-sebab ghairahnya nafsu sudah hilang ........
Seperti sudah tua, atau kecantikan hilang disebabkan sakit,
atau kemalangan yang mencacatkan badan
Kasih pun hilang, kecuali ada pada perempuan itu akhlak yang mulia
Kasihnya masih tersangkut disebabkan akhlaknya

Berlaku juga kasih atau cinta disebabkan ilmu
atau kepandaian seseorang
Terjatuh hati dengan ilmunya,
maka otomatik jatuh hati kepada orangnya
Kasih ini juga mudah luntur
Jika orang itu rosak akhlaknya, hilang kasihnya

Tidak kurang juga kasih seseorang pada seseorang
kerana ternama dan ada glamour
Dia jatuh hati pada orang itu kerana terkenalnya orang itu
Cinta yang begini juga mudah luntur
Jika orang itu sudah tidak terkenal mungkin kerana sakit,
atau jatuh wibawanya
Mungkin juga jatuh pangkatnya, luntur pula kasihnya pada orang itu

Biasa juga berlaku cinta seseorang
pada seseorang kerana hartanya
Kekayaanlah membuatkan dia jatuh hati
Kasih yang seumpama ini mudah sahaja pudar
Jika hilang kekayaan, atau ditimpa miskin
dan papa-kedana luntur pula kasihnya

Ada orang jatuh hati pada seseorang kerana pangkat
dan kedudukan yang tinggi di dalam sesuatu jawatan
Dia terpikat dengan kedudukannya
Kasih yang semacam ini juga mudah luntur
Di waktu ada pangkat kasih berbunga,
di waktu pangkat tidak ada kasih hilang entah ke mana

Di dalam pada itu ada orang terpaut dengan seseorang
kerana kuat dan gagah
Hatinya pun terpaut dengan orang itu
Cinta yang begini juga palsu
Apabila orang itu lumpuh atau lemah kerana penyakit
Kasih pun hilang, orang yang dikasihi dahulu tinggal seorang

Ramai orang di dunia ini jatuh hati
dan cinta pada orang yang akhlaknya tinggi
Seperti pemurah, juga kasih sayang, merendah diri,
mesra, pemaaf, bertimbang rasa, bertolak ansur,
Berlemah lembut pakaiannya, mengutamakan orang budayanya
dan lain-lain lagi sifat yang mulia
Pada orang ini semua golongan jatuh hati dan cinta
Orang ramai mabuk dengannya,
sekalipun orang yang jahat perangainya
Walaupun dia seorang kafir
Kecuali orang yang hasad dengki sahaja

Yang sebenarnya kasih yang hakiki yang kekal abadi
Cinta yang murni dan ikhlas yang tidak bersifat kebendaan
Kasihkan Allah Tuhan yang ada pada-Nya segala-galanya
Kasih yang tidak akan berhadapan dengan cacat celanya
Sekalipun Tuhan tidak dapat dilihat oleh mata
Tapi dia terasa ada-Nya di dalam jiwa
Cinta ini hanya diperolehi oleh orang yang bertaqwa
Cinta yang luar biasa
Sesiapa yang memperolehinya tidak mampu lidah bercerita

Tuesday, July 8, 2008

AZ ZIKRU

Zikir adalah ingatan atau perasaan,
Ia adalah sifat hati atau jiwa atau roh insan,
Ia merupakan sifat rohaniah insaniah,
Zikir yang kita hendak perkatakan di sini ialah zikrullah,
Yang diperintah kepada manusia atau insan,
Zikrullah atau ingatan kepada Tuhan
ada berbagai-bagai peringkat dan perasaan,
Kalau sudah sampai peringkat cinta,
Ia telah bertapak di hati atau jiwa,
Rasa bertuhan telah sampai peringkat penghayatan,
Ia payah hendak dilupakan,
Atau banyak ingatan daripada dilupakan,
Juga jika sudah sampai peringkat takut yang mendalam,
Ingatan kepada Tuhan susah hendak dilupakan,
Ia akan terbawa-bawa ke mana-mana
walaupun di dalam perjalanannya,
Kedua-duanya ini berlaku kerana kenal Tuhan,
Pencipta insan dan seluruh alam,
Kalau sekadar percayakan Tuhan tapi
tidak kenal Tuhan ada keyakinan,
Tapi rasa cinta atau takut belum wujud bertapak
di dalam jiwa atau hati sebagai perasaan,
Ia akan menjadikan seseorang insan itu banyak
lupanya daripada ingatan kepada Tuhan,
Orang yang semacam ini terpaksalah mencari-cari sebab
untuk ingatan kepada Tuhan,
Kenalah gunakan fikiran selalu,
Kenalah merenung alam, laut dan keindahan,
Barulah datang perasaan rasa bertuhan,
Atau membaca berbagai-bagai lafaz zikir,
tasbih untuk ingatan kepada Tuhan,
Jika rasa takut dengan Tuhan tidak kuat,
Atau rasa cinta belum mendalam terpaksalah
memaksa-maksa diri untuk ingatan,
Terpaksalah menggunakan akal untuk berfikir atau bacaan,
Apabila cinta sesuatu banyak menyebut atau banyak ingatan,
Juga kalau perasaan takut menguasai insan,
Ingatan payah dilupakan,
Begitulah kalau sudah sampai peringkat cinta,
Atau takutkan Tuhan payah hendak dilupakan,
Haraplah diambil peringatan jika mahu ada perasaan bertuhan

Saturday, June 28, 2008

Apabila Belum Jatuh Hati Dengan Tuhan

Kalau engkau belum jatuh hati dengan Tuhan
Lebih-lebih lagi Tuhan belum engkau cintai
Bagaimanalah engkau sembah Tuhan
Sudah tentu engkau tidak merasa lezat
Manalah engkau hendak rasa indah beribadah
Mana boleh dapat melepaskan rasa rindu dengan Tuhan?

Begitulah juga jika engkau belum rasa takut dengan Tuhan
Tidak mungkin di waktu engkau menyembah-Nya
Dapat lahir rasa kehambaan
Rasa hebat, rasa malu, rasa hina, dan merendah diri
Jika engkau sembah juga Allah Taala
Sudah tentu secara terpaksa
Secara terpaksa sudah tentu menyeksakan
Secara terpaksa sudah tentu menjemukan
Di waktu-waktu atau di masa-masa sibuk atau susah
Sudah tentu engkau tinggalkan
Kerana itu mengenal Tuhan itu penting
Agar kita takut dan cinta
Kita rasa Dia Penyelamat, Pelindung, Pemberi Rezeki
Kita sangat terasa Dia Tuhan sangat mencintai kita
Di waktu itu baru kita rasa rindu pada Tuhan
Kita menyembah-Nya sudah tentu kita rasa asyik
Kita dapat mengadu dan bermanja-manja dengan Tuhan
Dapat meluahkan perasaan yang terbuku
Dapat meluahkan rasa rindu dendam
Dengan itu kita dapat menerima harapan dengan Tuhan
Hati kita puas, jiwa kita tenang
Di antara rasa khauf dan raja’ seimbang