Tuesday, July 7, 2009

Cara Mengenal Seseorang Itu Sudah Baik

Setiap orang Islam itu tidak boleh diukur yang dia baik
waktu datang bersembahyang di masjid sahaja
Belum boleh diukur yang dia baik sering sembahyang berjemaah di rumah Allah
Jangan lagi dilabelkan dia baik selalu naik haji dan buat umrah berulang kali
Tasbih di tangan, wirid dan zikir tidak lekang
Kerana itu semuanya ibarat berladang, baru menanam pokok
Tidak semestinya menanam pokok, pokok itu berbuah lebat dan banyak
Tidak semestinya menanam pokok, mendapat hasil yang memuaskan
Orang yang beribadah tadi kita lihat dahulu di dalam pergaulannya, bagaimana?!
Bagaimana sikapnya di dalam pergaulan mereka?
Mereka berkasih sayang atau tidak?
Mereka bertimbang rasa atau sebaliknya?!
Bagaimana dia menggunakan lidahnya?!
Mereka menyakiti orang? Menghina orang? Menfitnah orang?
Dengan orang miskin dan susah mereka menolong?
Atau buat tidak tahu sahaja kesusahan orang?!
Adakah mereka pemaaf? Meminta maaf, pemurah? Sabar dengan ujian?
Redha dengan takdir Tuhan?!
Mereka mengutamakan diri?! Atau mengutamakan orang lain?
Apakah mereka merasa susah dengan kesusahan orang?
Senang pula dengan kesenangan orang?
Kalau kita dapat menjawab dengan baik dan tepat,
memang kita kenal orang baik dan orang jahat
Ibadah mereka berbuah, orang yang ibadahnya berbuah itulah orang baik
Kalau ibadah sahaja banyak, tapi tidak berbuah, itu bukan orang soleh
Mengukur orang baik bukan dengan banyak ibadahnya
Tapi diukur berbuahkah ibadahnya?
Tinggikah peri kemanusiaannya oleh ibadahnya?!

Thursday, June 25, 2009

DOSA MEMBURU DI MANA-MANA

Tuhan!Dosa memburu di mana-mana sahaja,
Ia memburu tidak kira masa dan tempat,
Sasaran buruannya adalah manusia
sebagai hamba-hamba-Mu,
Aku adalah salah seorang buruannya,
Aku selalu sahaja menjadi mangsanya,
Dosa ibarat semut berada di mana-mana
dan setiap masa ada,
Siapalah yang dapat melarikan diri
daripada buruannya,
Kalau kita berhati-hati pun tidak dapat dielak
daripada digigit semut,
Betapalah kita tidak mempedulikannya
lebih-lebih lagi menjadi sasaran serangannya
yang lebih lagi kerap berlaku,
Aku sedih Tuhan, aku bimbang selalu,
Jiwaku tidak tenang, gelisah selalu,
Bukan sahaja dosa-dosa menimpa aku di jalan-jalan,
di pasar-pasar, bahkan di rumah
dan di masjid pun berlaku,
Di dalam sembahyang pun dosa memburu aku,
Waktu berpuasa, membaca Al Quran,
bercakap tentang ilmu,
Bahkan sedang memperkatakan tentang dosa
pun terjatuh di dalam dosa,
Aduh di mana aku hendak lari dari dosa Tuhan!
Dosa ibarat semut berada di mana-mana
dan berada di setiap masa,
Kalau di dalam sembahyang,
di waktu membaca Al Quran,
di dalam majlis ilmu dosa tetap memburu aku,
Bagaimanakah jiwa aku mahu tenang,

Bagaimana aku mungkin boleh terlepas
daripada kebimbangan?!
Justeru itu lepas sembahyang aku bimbang,
Selepas membaca Al Quran aku tidak tenang,
Bahkan selepas bangun tidur pun,
Aku merasakan aku sedang diburu dosa,
Aduh kalau bukan dengan rahmat-Mu Tuhan,
Aku pasti binasa.

Sunday, June 14, 2009

LIHATLAH KUASA TUHAN DI DALAM DIRIMU

TIDAK payah kita memandang yang jauh
melihat Qudrat dan kuasa Tuhan
Juga tidak perlu melihat yang jauh baru terasa
Maha Mentadbir dan Maha Bijaksana Tuhan
Kalau jiwa kita hidup dan jaga
Di dalam dirimu sendiri
engkau akan merasakan Qudrat, Iradah Tuhan
Pentadbiran dan Bijaksana-Nya
Tidakkah engkau sedar,
mana engkau ada kuasa terhadap dirimu!
Adakalanya engkau hendak tidur mata tidak mahu
Ada waktunya engkau tidak hendak tidur
tapi tidak dapat menahan tidur
Adakalanya berlaku di dalam dirimu setiap hari
Gerak-gerimu berlaku tanpa engkau mahu
Bahkan adakalanya tanpa kesedaranmu
Contoh yang berlaku akalmu memikirkan sesuatu
Tapi di masa yang sama bergerak-gerak jarimu
tanpa kehendakmu
Juga di masa itu juga bergerak-gerak matamu
tanpa kehendakmu juga
Bukankah menunjukkan adanya kuasa yang melakukannya
Kalaulah kita ada kuasa tentu sekali
kehendak kita semuanya berlaku
Yang tidak dikehendaki tidak akan berlaku
Tapi pengalaman kita tidak begitu
Ada yang kita kehendaki berlaku,
Ada yang kita kehendaki tidak berlaku
Ada yang kita tidak hendak, ia berlaku
Yang kita hendak, tidak berlaku
Kerana itulah Tuhan ada berkata yang bermaksud:
Di dalam diri kamu, mengapa kamu
tidak merasa dengan mata hati
Iaitu adanya kuasa Tuhan
di dalam dirimu

Thursday, May 28, 2009

Orang yang Bersih Hatinya

Orang yang hatinya bersih rendah diri dengan Allah Taala
Sering sahaja baik sangka dengan Tuhannya
Jika dia dapat ujian kesusahan hatinya berkata kerana dosakulah ujian ini
Tuhan hukum aku kerana dosaku
Moga-moga aku terlepas daripada hukuman di Akhirat yang amat dahsyat
Kalau ada orang lain yang bernasib baik mungkin kaya, berpangkat gembira hatinya
Dia tumpang gembira dengan kegembiraan orang lain
Sekiranya ada orang mendapat kecelakaan eksiden, miskin, sakit hatinya sedih dengan kesedihan orang
Jika dia dapat nikmat malu dengan Tuhannya kerana dia rasa tidak layak menerimanya
Hatinya merasakan apa maksud Tuhan memberi aku nikmat untuk aku bersyukur atau kufur?
Cemas jiwanya, gembiranya tidak begitu ketara kerana ia menjadi tanda tanya
Hajat-hajatnya yang tidak dapat dia redha baik sangka dengan Tuhan
Sedikit pun tidak cacat hatinya dengan Allah kerana dia tahu
Tuhan lebih bijaksana mentakdirkan
Dia disusahkan orang, teringat dosanya kerana dosakulah ini
Dia tidak berdendam bahkan mendoakan dengan kebaikan
Nikmat Tuhan disyukurinya pemberian dan pertolongan orang diingati dan dibalasinya
Hatinya sentiasa cemas kematian di depan mata, bila-bila boleh tiba
Gelisah dengan dosa amal ibadahnya dilupakan sahaja kerana dia tidak tahu apakah diterima atau sebaliknya
Kakinya di dunia, hatinya dengan Tuhannya perasaannya sering sahaja di Akhirat
Begitulah hati orang yang bersih dengan Tuhan

Friday, May 15, 2009

Sifat Malu Sudah Tiada

Sifat malu adalah tabiat insan
Satu tabiat yang Allah anugerahkan
pada hamba-hamba- Nya sejak lahirnya lagi
Sifat ini kalau disuburkan
ia menjadi benteng
daripada melakukan kemungkaran
Ia menjadi perisai
pada seseorang daripada menggadai maruah dirinya
Sifat ini di waktu keseorangan,
malu membuat maksiat kerana Tuhan melihatnya
Di waktu ramai, lagilah bertambah malu
kerana ramai mata yang melihatnya
Orang yang bersifat malu
sangat menjaga maruahnya
Merasakan maruah diri
adalah harga diri dan nilai peribadinya
Orang yang bermaruah merasakan jika maruah diri
telah tercemar atau ternoda
Dunia ini telah sempit dibuatnya
Bertemu manusia terasa malu dan terseksa
Ingin lari dari manusia
Tapi malang sekali di masa kini
Sifat malu telah tercabut
dari jiwa kebanyakan manusia
Lantaran itu maruah diri sudah tak dijaga
Maruah diri manusia sudah tergadai atau tiada
Tapi mereka tidak terasa
Masing-masing merasakan masih ada wibawa
Semua merasakan masih ada harga diri
Padahal yang ada sifat kebinatangan atau sifat haiwaniahnya
Berkelakuan haiwan yang berupa manusia
Binatang yang berupa manusia inilah yang menguasai dunia
Mentadbir manusia dan mendidik mereka
Ramailah di dunia ini haiwan yang berupa manusia